Rangka purba gua niah akhirnya pulang


RANGKA manusia purba berusia lebih 40,000 tahun yang ditemui di Gua Niah sebelum ini akan dipamer di Muzium Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata begitu susulan usaha kerajaan negeri membawa pulang lebih 100 rangka tulang manusia itu yang sebelum ini disimpan di Florida, Amerika Syarikat (AS).

“Saya ke Florida pada minggu lepas dan melihat sendiri mereka membungkus rangka berkenaan untuk dibawa balik ke Kuching.

“Ini yang kita tunggu-tunggu selama lebih 50 tahun. Ini adalah tulang nenek moyang kita,” katanya di Miri semalam.

Kesemua rangka itu diterbangkan pulang ke negeri itu dan dijadualkan sampai malam tadi.

Sebagai rekod, tulang manusia purba terbabit ditemukan di Gua Niah sewaktu Kurator Muzium Sarawak yang pertama, Tom Harisson  melakukan kerja penggalian di gua terbabit di antara 1957 dengan 1967.

Lebih 200 tulang rangka manusia purba ditemukan di pintu barat Gua Niah dan daripada jumlah itu sebanyak 122 tulang terbabit dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada di Amerika Syarikat bagi dijadikan bahan penyelidikan dan dokumentasi.

“Tulang berkenaan digali sekitar 50-an hingga 60-an dan dihantar ke Amerika Syarikat bagi tujuan kajian memandangkan Sarawak pada masa itu tidak mempunyai kemudahan bagi melaksanakan kajian terperinci mengenai tulang itu,” kata Karim.

Sementara, Karim berkata, lokasi baharu akan dibuka bagi terus meneroka artifak bersejarah atau rangka manusia di tapak penggalian Gua Niah.

Menurutnya, tapak ketiga itu akan digali pada bulan ini bagi melihat jika terdapat lebih banyak artifak atau rangka manusia yang pernah tinggal di Gua Niah dahulu.

Post a Comment

0 Comments