KEADILAN dan DAP ikrar terus bersama Warisan di Sabah


DUA parti komponen dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) di Sabah terus berikrar melunaskan amanah yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan DAP masing-masing menegaskan bahawa mereka akan berdiri teguh dibelakang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal bagi memastikan agenda pembangunan rakyat yang telah dirancang sebelum ini tidak terganggu dan dapat dijayakan.

KEADILAN Sabah sementara itu turut menafikan dakwaan kononnya ada pemimpin daripada parti itu yang meragui kepimpinan Shafie.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, KEADILAN Sabah berkata, laporan portal berita Free Malaysia Today bahawa ada pemimpin parti itu yang berpandangan seperti dilaporkan bukanlah pendirian KEADILAN negeri.

“Kenyataan media  yang menyatakan bahawa seorang pemimpin KEADILAN Sabah menyuarakan pandangan tersebut dan tidak diketahui atau dinyatakan nama pimpinan tersebut, sama sekali bukan pandangan atau pendirian KEADILAN Sabah,” kata parti itu merujuk berita bertajuk ‘Question marks over fate of Sabah’s Warisan government’ disiarkan portal itu.

Sementara itu, DAP Sabah turut menegaskan mereka akan bersama Shafie menghadapi kemelut pentadbiran di peringkat persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Ginger Phoong Jin Zhe berkata, meskipun kecewa dengan senario semasa di ibu negara, pihaknya tetap komited untuk mentadbir kerajaan negeri bersama parti Warisan.

ADA USAHA BELI ADUN 

Dalam perkembangan berkaitan, Phoong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Sabah turut mendedahkan, terdapat usaha menarik wakil rakyat di Sabah supaya ‘melompat’ parti bagi menukar kerajaan negeri sedia ada.

“Tidak dinafikan, ada kelakuan atau cubaan, untuk menarik ADUN-ADUN di Sabah, untuk lompat sini, lompat sana, untuk tukar dan tumbangkan kerajaan Warisan bersama dengan rakan-rakan Pakatan Harapan dan UPKO.

“Tetapi, saya nak kongsikan, sebagai ahli politik muda, sudah sampai masanya kita tukar dinamik, tukar landskap politik di Sabah.

Untuk rekod, Warisan setakat ini mempunyai kerusi DUN terbanyak dengan jumlah 31 buah kerusi diikuti sekutunya DAP (6 kerusi), UPKO (4) dan PKR (2).

Sementara itu, parti-parti lain, Bersatu mempunyai 9 kerusi, PBS (4), STAR (3) dan UMNO (1).

Post a Comment

0 Comments