Azizulhasni bertanding dua acara di Tokyo 2020


PELUMBA berbasikal trek sensasi kebanggan negara Mohd Azizulhasni Awang, melayakkan diri dalam satu lagi acara lumba basikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini.

Ia selepas Azizulhasni memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Menurut ranking dunia terkini UCI di laman sesawang www.uci.org, Azizul meningkat lima tempat ke kedudukan kelima terbaik dunia, dalam acara pecut individu selepas mengumpulkan 2,415 mata.

pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘The Poket Rocketman’ berusia 32 tahun itu, sebelum ini telah layak ke Tokyo melalui acara kegemarannya ‘keirin’.

Bagi ketegori itu, Azizulhasni berada di kedudukan kedua rangking dunia  di belakang juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda, apabila berjaya mengumpulkan 2,710 mata.

Ini akan menjadi penampilan Mohd Azizulhasni kali keempat di Sukan Olimpik, selepas layak pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

Azizulhasni sebelum ini mengumpul mata apabila meraih pingat di Kejohanan Lumba Basikal Trek UCI 2020 di Berlin, German yang merupakan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir.

Berdasarkan kepada format UCI, tujuh pelumba terbaik acara keirin dan pecut dalam ranking dunia UCI akan layak ke Sukan Olimpik.