Jangan gusar atau kecewa - Anwar

 
PENDUKUNG
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) digesa tidak gusar atau berasa kecewa dengan krisis politik yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tumbang baru-baru ini.

Sebaliknya, Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan supaya apa yang berlaku menjadi asas untuk pendukung parti itu bangkit memperkukuh semula parti.

Pesanan itu disampaikan Anwar dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya yang turut mengingatkan kembali asas perjuangan parti itu.

"Dulu ada yang gusar bertanya mengapa saya tidak berkompromi? Saya jawab, saya ada dengar dan dapat menghidu apa yang sedang direncanakan dan mengkhianati perjuangan kita.

"Termasuk yang pertama bahawa landasan kita adalah keadilan, menolak rasuah dan salah guna kuasa.

"Kedua, sementara asas Islam Melayu tidak dipertikaikan dan menjadi asas di negara kita. Kita adalah negara pelbagai kaum dan agama, dan mesti merangkul semua kaum.

"Ketiga, ekonomi negara kita ini tidak seharusnya menghalalkan rompakan oleh segelintir penguasa, tetapi untuk memastikan ekonomi dipacu dengan lebih laju dan meyakinkan, tetapi menjaminkan pengagihan yang adil dan saksama," katanya.

Melalui rakaman tersebut juga, Anwar mengingatkan pemimpin parti agar tidak boleh membenarkan kekayaan negara terus dirompak oleh segelintir kecil kelompok tertentu.

"Semoga rakan-rakan dapat perkukuhkan sekarang ini usaha memperkuatkan KEADILAN dan menjaga benteng dan amanah membela nasib rakyat," katanya.

Post a Comment

0 Comments