BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor gagal mengawal perasaan di kamar mahkamah semalam.
Ia selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Setiausaha Agung UMNO itu supaya pengisytiharan asetnya didengar dalam prosiding secara tertutup tanpa kehadiran orang awam atau pihak media.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dalam prosiding membela diri bagi tuduhan rasuah dihadapinya, Ahli Parlimen Putrajaya itu meninggikan suaranya apabila ditanya sama ada ayat dalam pernyataan saksinya adalah pendapat peribadi.
"Apabila saya katakan saya tidak mahu mengisytiharkan diri saya, ia kerana di khalayak ramai, anda tahu mengapa. Sekarang saya menghadapi masalah. Selepas saya mendedahkan hampir satu bilion (aset), mereka akan mensensasikannya," katanya dengan suara yang tegang dan penuh emosi.
Adnan Mansor membela diri bagi tuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong.
Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili bekas Setiausaha Agung UMNO itu kemudian mencelah dan meminta mahkamah berhenti rehat seketika untuk menenangkan Tengku Adnan.
Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan itu dalam keputusannya terhadap pengisytiharan aset memutuskan bahawa untuk perbicaraan itu dijalankan secara adil, ia mesti dilakukan secara telus dan orang awam mempunyai hak untuk mendengar apa yang didengar di mahkamah dan melihat apa yang dilihat di mahkamah.
"Dengan cara ini orang awam dapat menghargai apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan tidak tertanya-tanya dengan apa-apa keterangan yang disimpan rahsia," katanya.
Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pemeriksaan utama. Dalam prosiding itu, Adnan Mansor mengakui jumlah asetnya yang telah diisytihar kepada Dr Mahathir pada tahun 2001 adalah melebihi RM900 juta".
Kepada soalan sama ada angka itu ialah RM938,643,566.16, bekas menteri itu menjawab: “Betul”.