Pulau Pinang bakal bina pusat transit untuk gelandangan


PULAU PINANG terus menumpukan usaha meningkatkan kebajikan penduduk di negeri itu.

Kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilapor bakal membina Pusat Transit Gelandangan bagi membendung dan menangani isu gelandangan yang dilihat semakin berleluasa di negeri itu.

Difahamkan, projek pertama yang berkonsepkan “Triple Net Zero” itu akan dibina di tapak milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkeluasan 1,370m persegi di Jalan C Y Choy. 

Pada majlis pecah tanah projek pusat transit gelandangan itu semalam, Chow berkata, projek transit itu dilaksanakan berdasarkan program “Empowering The Streets Citizens” yang dicadangkan pada 2016 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh

Chow berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, sepanjang 2019 sebanyak 458 operasi pengemis/kutu rayau dijalankan iaitu di Timur Laut melibatkan 152 operasi, Barat Daya (103), Seberang Perai Utara (89), Seberang Perai Tengah (47) dan Seberang Perai Selatan (67).

“Bagi tempoh sama (Januari-Disember 2019), sebanyak 592 pengemis atau pelesir yang terdiri daripada warganegara dan bukan warganegara berjaya diselamatkan,”  jelasnya.

Beliau sementara itu berharap projek perintis tersebut nanti bakal berjaya masalah gelandangan  sering dikaitkan dengan isu kebersihan, keselamatan dan masalah sosial lain sehingga menjejaskan imej George Town sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.
 

Post a Comment

0 Comments