PM Sudan selamat dalam cubaan bunuh


PERDANA MENTERI
Sudan, Abdalla Hamdok selamat dalam serangan bom yang mensasarkan konvoinya semalam.

Agensi berita antarabangsa AFP dalam laporannya yang memetik seorang pegawai perdana menteri itu berkata, Hamdok tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serangan itu.

Agensi berita rasmi Sudan SUNA, mengatakan bahawa Hamdok, yang kemudian mempengerusikan mesyuarat luar biasa kabinet, berada dalam "kesihatan yang baik dan di tempat yang selamat".

"Penyerang-penyerang yang tidak dikenali itu melakukan serangan sekitar jam 9 pagi di pintu masuk ke jambatan Kober ... pada masa Hamdok biasanya menuju ke pejabatnya" di pusat bandar, kata SUNA.

Imej-imej di televisyen negara menunjukkan sekurang-kurangnya dua kenderaan yang rosak di tapak letupan, yang kemudiannya dikepung oleh polis.

Hamdok, 64, seorang pakar ekonomi berpengalaman yang dilantik menerajui kerajaan sementara Ogos lalu selepas Presiden Omar al-Bashir digulingkan tahun lalu.

Sejurus serangan itu, Hamdok turut dilapor mengemaskini akaun Twitter rasminya dan berkata bahawa beliau berada dalam keadaan baik. 
"Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Sudan bahawa saya selamat dan dalam keadaan baik," katanya.

Post a Comment

0 Comments