BEBERAPA wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran Muhyiddin Yasin.
Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Noor berkata, kerajaan baharu yang dibentuk hasil kerjasama Umno, PAS dan beberapa individu termasuk yang keluar dari Pakatan Harapan (HARAPAN) telah meminggirkan kepentingan masyarakat Orang Asli.
Ramli berkata begitu susulan tiada wakil masyarakat itu dilantik sebagai sebahagian jemaah menteri.
“Yang amat jelas Orang Asli diketepikan langsung. Tengok MCA berapa orang lantikan senator... tengok parti lain bawah Bersatu berapa orang lantikan senator jadi menteri.
“Orang Asli satu orang pun yang dilantik rakyat macam jadi beban untuk mereka...” tegas Ramli.
Bagi rekod, Ramli adalah ahli parlimen Orang Asli pertama yang memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands tahun lalu di bawah tiket BN.
Sementara itu tambahnya, dengan apa yang dilakukan pentadbiran Muhyiddin, masyarakat Orang Asli kini bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi suara politik mereka terus dikuburkan.
Sementara itu, seorang bekas menteri era BN, Azalina Othman Said turut menyuarakan rasa tidak berpuas hati dengan lantikan jawatan kabinet seperti diumumkan Muhyiddin.
![]() |
Ciapan Azalina di Tweet |
“Umno sepatutnya layak diberikan kementerian yang lebih significant seperti Kementerian Wanita, KDN (Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Luar Bandar, MOF (Kementerian Kewangan) dan MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani),” katanya.
Umno sebagai parti terbesar dalam pentadbiran apa yang dianggap sebahagian masyarakat sebagai 'kerajaan pintu belakang' mempunyai lebih banyak ahli parlimen, namun mereka dilihat diberikan jawatan yang dikatakan tidak setimpal dengan apa yang diperolehi parti lain.
"Kesimpulannya... pendapat saya, # PM8 adalah ahli politik yang paling bijak di kalangan pemimpin Melayu pada 2020," katanya dipercayai memperli Muhyiddin.
0 Comments