MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak lima hari lalu akhirnya teruangkai setelah mayatnya ditemui malam semalam.
Mangsa, Muhammad Izzudin Israfil, 30, beralamat di Taman Sri Puteri Mersing yang hilang sejak Sabtu lalu ditemui maut dipercayai terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Kota Tinggi-Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata pada jam 8.15 malam tadi pihaknya menerima maklumat bahawa orang awam menemui sebuah kenderaan jenis Proton Persona di lereng bukit dalam jarak lebih kurang 20 meter dari Jalan Besar bersama mayat tersepit didalamnya.
Tambah Cyril, siasatan awal beranggapan kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 23 Jalan Kota Tinggi-Mersing.
“Kejadian juga dipercayai berlaku beberapa hari berikutan keadaan mayat mangsa yang berbau serta mereput.
“Mayat yang mula mereput itu ditemui dengan kecederaan parah di badan dan kepala. Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Susulan penemuan itu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat sementara kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 Comments