Pegawai Suhakam mangsa terbaru koronavirus


SEORANG pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) didapati positif koronavirus (Covid-19).

Melalui satu kenyataan Suruhanjaya berkata, perkara itu dimaklumkan pihak kesihatan pada Rabu. Bagaimanpun mereka tidak dapat memastikan sama ada pesakit berkenaan telah dijangkiti pada awal bulan Mac 2020.

Susulan perkembangan itu, Suhakam  memaklumkan ibu pejabatnya di Menara TH Perdana, Kuala Lumpur ditutup pada 11 sehingga 13 Mac bagi menjalankan kerja mengawal penyebaran virus berkenaan terutamanya di kalangan pekerjanya.

"Suhakam bekerjasama rapat dengan pengurusan bangunan TH Perdana dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk proses disinfeksi premis.

"Pekerja Suhakam akan menjalankan tanggungjawab kerja dari rumah, dan semua aktiviti serta program akan ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak,"kata kenyataan itu.

Suhakam juga memaklumkan untuk mengenalpasti individu-individu yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa dan mereka turut digesa untuk mendapatkan ujian sewajarnya.

"Suruhanjaya menasihatkan agar orang ramai yang telah melawat atau berinteraksi dengan pegawai kami sejak 2 Mac (walaupun kemungkinan terdedah kepada virus ini adalah kecil) untuk menjalani pemeriksaan sekiranya anda mengalami simptom atau berasa kurang sihat.

"Segala kesulitan yang berlaku dalam menangani perkara ini amat dikesali dan Suhakamm akan memaklumkan perkembangan perkara ini dari semasa ke semasa melalui laman web dan media sosial kami," katanya Suhakam lagi.

Post a Comment

0 Comments