Peserta himpunan tabligh dinasihat hubungi CPRC



JUMLAH kes kumulatif berkait wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini meningkat kepada 149, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, 20 kes baharu positif dilaporkan.

Sementara satu kes iaitu individu ke-78 yang disahkan positif sebelum ini telah pulih serta dibenar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih adalah sebanyak 26 kes. Kementerian Kesihatan sedang mengesan kontak-kontak rapat bagi setiap kes baharu itu tegasnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata semua 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 26 Feb lepas telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di Negeri Sembilan.

“Kesemua mereka tidak bergejala dan semua sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, International Health Regulations Focal Point (IHRFP) Brunei telah memaklumkan kepada IHRFP Malaysia mengenai kes yang disahkan Covid-19 dikesan di negara itu yang dipercayai mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” menurut Dr Noor Hisham.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh tersebut untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) negeri sekiranya mengalami gejala.

Post a Comment

0 Comments