Masjid dan surau di N9 ditutup sementara



SEMUA
masjid dan surau di Negeri Sembilan ditutup bagi tempoh 10 hari bermula hari ini (Selasa).

Perkara itu dimaklumkan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam satu kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus.

Penutupan sementara itu membabitkan urusan solat jemaah dan solat Jumaat dan kesemua aktiviti agama lain.

Menurut Mohd Yusof, langkah penutupan masjid secara sementara itu bertujuan mencegah kluster jangkitan lebih besar susulan penularankoronavirus (Covide-19) melibatkan sebahagian kumpulan tabligh baru-baru ini.

Kenyataan dikeluarkan
“Berdasarkan kepada situasi terkini wabak COVID-19 yang semakin kritikal susulan gelombang kedua penularan selepas penemuan positif dalam kalangan 16,000 jemaah yang menghadiri program di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur baru-baru ini, Muzakarah berpandangan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat jemaah dan solat Jumaat ditangguhkan untuk 10 hari bermula 17 Mac sehingga 26 Mac.

“Dalam tempoh tersebut, semua masjid dan surau dinasihatkan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan,” katanya.

Sementara itu jelas Mohd Yusof, keputusan itu dibuat berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan dan perbincangan yang diadakan bersama ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada Ahad.

Persidangan itu turut membuat keputusan sekiranya berlaku kematian akibat virus tersebut, jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut sahaja.

“Dalam keadaan sekiranya berlaku kematian akibat virus Covid-19 pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10 hingga 11 Februari 2015.

“Mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki atau Dijangkiti Virus Ebola di Malaysia iaitu sekiranya terdapat keadaan-keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang boleh mengurus jenazah tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata, dalam melaksanakan kedua-dua perkara yang telah diputuskan itu, muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan.

Sebarang keputusan pelanjutan atau penamatan tempoh 10 hari tersebut tegasnya akan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan.

Post a Comment

0 Comments