BILAL sebuah masjid di Alor Setar yang sebelum ini cedera melecur selepas disimbah petrol dilapor meninggal dunia.
Amri Budin, 65, meninggal selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (Kebakaran), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak 22 hari lalu.
Anak sulung allahyarham yang dikenali sebagai Shahrizal berkata, ayahnya tidak menunjukkan tindak balas kepada ibunya, Habsah Mustafa sejak jam 11 pagi semalam sebelum menghembuskan nafas kira-kira jam 4 petang.
Katanya, doktor memaklumkan keadaan bapanya makin tenat dan ahli keluarga diminta berkumpul untuk melihat keadaannya buat kali terakhir.
"Kita dah buat macam-macam, sudah tebuk dekat leher, tebuk sudah banyak, tidak mahu seksa dia,kalau dia hendak pergi, pergilah," katanya dipetik laporan sebuah portal.
Difahamkan, Amri sebelum ini menjalani pembedahan bagi menggantikan bahagian kulit melecur di bahagian kiri badannya, menurut anak allahyarham, ayahnya koma dan tidak sedarkan diri sehingga pagi tadi.
Dalam kejadian 19 Februari lalu, Amri Budin dikatakan tiba di perkarangan Masjid Al Hasanah pada jam 5.50 pagi untuk mengalunkan azan dan menunaikan solat Subuh.
Bagaimanapun, seorang suspek dikatakan menyimbah petrol dan membakar mangsa di tempat kejadian menyebabkan mangsa rebah.
Mangsa yang melecur 25 peratus badan diselamatkan jemaah lain dan suspek ditahan polis kira-kira enam jam selepas kejadian.
Sementara itu Shahrizal berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 40-an yang ditahan polis pada hari kejadian.
Jenazah Amri dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Terus malam tadi.