KUMPULAN juruterbang berpengalaman mempersoalkan kelewatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan susulan kejadian helikopter terhempas, dekat Bidor, Perak, pada Ahad.
Mereka yang dipetik laporan FMT membangkitkan soalan itu setelah helikopter itu hilang dari sistem radar Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur, pada 12.16 tengah hari sedangkan helikopter pertama digerakkan ke lokasi terakhir, pada jam 4 petang.
Tambah mereka, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mungkin gagal mengguna pakai Konvensyen Chicago bagi SAR yang menakrifkan tiga fasa kecemasan, di mana merujuk kepada Fasa Ketidaktentuaan, Fasa Makluman dan Fasa Kesusahan.
Menurut konvensyen, fasa terbabit ditakrifkan sebagai:
* Fasa Ketidaktentuan (Incerfa): situasi di mana berlaku ketidaktentuan terhadap keselamatan pesawat dan penumpang;
* Fasa Makluman: situasi di mana wujud kebimbangan berhubung keselamatan pesawat dan penumpang; dan
* Fasa Kesusahan: situasi di mana ada kepastian munasabah bahawa pesawat dan penumpang dalam keadaan terancam dan bahaya, serta memerlukan bantuan segera.
Menurut laporan itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengesyorkan protokol sedemikian bagi SAR kepada kebanyakan negara yang menandatanganinya, termasuk Malaysia.
“Di bawah Fasa Makluman, pesawat SAR pertama sepatutnya terbang dalam tempoh sejam selepas dilaporkan hilang dari radar. Saya rasa CAAM perlu memberi penjelasan di sini,” kata Seorang bekas juruterbang tentera udara berpengalaman menerbangkan pesawat hampir 40 tahun yang identitinya dirahsiakan.
Sementara seorang lagi juruterbang berpengalaman dan pernah berada dalam pasukan SAR tentera udara, berkata tempoh empat jam melancarkan penerbangan pertama menyelamat selepas pesawat hilang dari radar merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, ada kemungkinan nyawa juruterbang itu dapat diselamatkan sekiranya pasukan SAR dihantar dalam tempoh sejam selepas pesawat dilapor hilang dari radar.
“Ada antara kami menimbulkan isu ini kerana banyak helikopter berterbangan di seluruh negara. Kepantasan memutuskan untuk melancarkan SAR cukup penting bagi menyelamatkan nyawa dalam kejadian terhempas,” katanya.
CAAM digesa beri penjelasan |
Anggota mencari dan menyelamat menemui helikopter dan juruterbang warga Hong Kong Richard Chan, kira-kira 9.30 pagi, pada Isnin, di Hutan Simpan Chikus.
Juruterbang yang ditemui tersepit di kokpit kemudian disahkan maut.
0 Comments