BEKAS Senator, Siti Aishah Shaik Ismail membuat gurauan mengapa Najib Razak memilih ditempatkan di penjara Kajang berbanding penjara Sungai Buloh.
Berucap di hadapan penyokong dalam ceramah Rapat Mega Keadilan di Gombak, beliau yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dengan sinis berkata, Najib memilih menghuni penjara itu bagi menunggu isterinya, Rosmah Mansor yang baru-baru ini disabitkan dengan kes rasuah.
"Najib pun pandai, Kenapa Najib pilih penjara Kajang bukannya Sungai Buloh? Siapa tahu kenapa dia pilih Penjara Kajang.
“Penjara Kajang ni saudara, sebelah penjara lelaki ada penjara perempuan.
“Sebab tu dia pilih penjara Kajang kerana oh nona ku Rosmah bakal masuk bersama,” katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Siti Aishah sementara itu turut kenyataan Najib bahawa kononnya dia tidak mendapat peluang membela diri.
"Najib pun kata saya dizalimi, nak mintak tangguh empat bulan pun tak boleh.
"Najib, kamu dah tangguh kes kamu empat tahun," katanya.
Sebagai rekod, kes Najib bermula pada 3 Julai 2018 apabila Ahli Parlimen Pekan itu ditahan pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Pada Julai 2020 Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.
Pada 5 April 2021, rayuan Najib mula didengar di Mahkamah Rayuan, namun pada 8 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib.
Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2022 menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Siti Aishah kecam tindakan pertahan perasuah |
Sementara itu Siti Aishah turut menyelar penyokong Najib yang meratapi pemenjaraan bekas Presiden Umno itu dengan menyifatkan tindakan mempertahankan individu rasuah sebagai satu 'tindakan gila'
"Saudara, negara ini sudah jadi negara gila bila kita menangis dan meratapi pemimpin-ppemimpin rasuah bila masuk negara," katanya.
0 Comments