TIMBALAN Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mengesa rakyat negara ini 'menyelamatkan' negara dengan membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bercakap pada perhimpunan "Rapat Mega Keadilan" di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada Ahad, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kerajaan sedia ada perlu ditukar dan kerosakan yang berlaku dalam sistem pentadbiran perlu dibaiki sekarang atau ia akan menjadi bebanan untuk generasi akan datang.
Rakyat menurut Rafizi terpaksa menanggung kegagalan demi kegagalan terhadap pengurusan kerajaan.
"Kami mahu menukar kerajaan kerana kerosakan ini, jika kami tidak memperbaikinya sekarang, kami akan mewarisi masalah itu, yang akan menjadi lebih besar dan lebih besar dalam tempoh lima hingga enam tahun," kata Rafizi.
Rafizi turut menyentuh isu berkaitan ekonomi semasa yang semakin mencemaskan.
Merujuk ruang fiskal negara yang semakin menipis. Rafizi menegaskan bahawa kelemahan kerajaan menangani isu ekonomi akhirnya hanya akan memangsakan rakyat terbanyak.
"Apabila Bank Negara menaikkan kadar faedah akibat kehilangan pelabur, rakyat yang menjadi mangsa.
"Rakyat biasa macam saudara-saudari, walaupun saudara-saudari tak tukar duit dalam dolar, walaupun tiada simpanan di luar negara, rakyat biasa menjadi mangsa dengan dua cara, melalui bayaran faedah yang tinggi dan kos sara hidup naik.
"Kalau kita ada lima anak, kereta nak kena bayar, minyak nak kena bayar, rumah nak kena bayar, selama ini pun hidup dengan hutang, tambahan bayaran faedah bulan-bulan itu kita kena hutang kredit kad silap-silap kita hutang dengan along," katanya.
Sebagai rekod, kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob telah dikritik susulan kenaikan harga keperluan makanan beberapa bulan lalu.
Media melaporkan kadar inflasi utama Malaysia naik lagi ke paras 4.4 peratus pada Julai dan meningkat empat bulan berturut-turut.
Lebih parah lagi apabila inflasi makanan mencapai paras tertinggi dalam sejarah iaitu 6.9 peratus seperti dilaporkan oleh MIDF Research.
Sedangkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN), inflasi makanan tertinggi direkodkan adalah 2.6 peratus, jauh lebih rendah dibandingkan kadar sekarang.
Sementara itu dalam program sama, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyelar kegagalan kerajaan Ismail menangani isu ekonomi.
Masalah jadi makin besar jika tak dibetulkan |
Kedua-dua mereka jelasnya mengambil sikap berdiam diri ketika rakyat mahu penjelasan berhubung situasi sebenar ekonomi negara setelah Ringgit Malaysia (RM) dilaporkan jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), melepasi paras psikologi RM4.50 pada 6 Sept lalu.
0 Comments