TIADA jaminan boleh diberikan bahawa sesebuah parti dapat memberi kestabilan politik sekalipun mereka mendominasi kerajaan.
Ketua Eksekutif IDEAS Malaysia, Tricia Yeoh dalam program dialog Bipartisan: Mengintai PRU15 anjuran Astro Awani baru-baru ini berkata, kestabilan juga tidak dapat dicapai dengan mengadakan pilihan raya, tetapi ia bergantung kepada institusi kenegaraan yang kuat yang menjalankan tanggungjawab demi negara, tanpa mengira parti mana pun yang memerintah.
“Kita tak boleh kaitkan perkataan kestabilan itu dengan mana-mana parti, maksudnya kestabilan itu bukan hak yang boleh dikuasai oleh mana-mana parti dan juga bukan tentang pilihan raya umum (PRU).
“Sektor bisnes misalnya tak peduli siapa pun yang menjadi kerajaan, apa yang rakyat peduli adalah adakah undang-undang akan diikuti, kepercayaan terhadap institusi yang kuat, itulah yang paling penting dari segi kestabilan," jelasnya.
Sebagai rekod, terdapat parti politik menyeru pengundi memilih mereka dalam pilihan raya dengan alasan mahu memastikan kestabilan politik negara.
Sedangkan parti itu sendiri dilihat berdepan ketidaktentuan politik dalaman apabila mereka didakwa berpecah-pecah menyokong pemimpin tertentu, malah mereka tidak mempunyai hubungan baik dengan sekutu mereka dalam kerajaan sehingga pernah menarik sokongan sehingga menyaksikan berlaku pilihan raya negeri dan pertukaran pemimpin utama peringkat persekutuan.
Sementara itu tegas Tricia, keadaan di mana sesebuah parti atau pakatan mampu mendominasi kerajaan itu pun sukar untuk dilihat berlaku lagi di masa mendatang memandangkan politik hari ini sudah terlalu terbahagi dengan kewujudan lebih banyak parti berbanding dahulu.
Bagaimana negara diuruskan jadi asas kestabilan |
“Sekarang ini disebabkan oleh fragmentasi politik dan sebagainya. Kita takkan pulang semula ke situasi di mana ada dua parti dominan di negara kita," katanya dipetik.
0 Comments