SABAH merekodkan jumlah tertinggi kes positif kes berkaitan Koronavirus (Covid-19).
Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, daripada 77 kes positif yang dikesan sebelum ini, 26 kes dikesan di Sabah.
Kebanyakan individu terbabit difahamkan merupakan jemaah tabligh menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpursebelum ini.
Kesemua 77 kes berkenaan dilapor sedang dirawat di hospital termasuk satu kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan stabil.
Selain Sabah negeri lain yang merekodkan kes positif COVID-19 berkaitan dengan perhimpunan itu termasuklah Negeri Sembilan 11 kes, Sarawak enam kes, masing-masing lima kes di Johor, Melaka, Selangor, dan Pulau Pinang.
“Tiga kes lagi di Kelantan manakala Perak, Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang, Kedah, Kuala Lumpur, dan Putrajaya masing-masing dua kes selain Perlis dengan satu kes,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, setakat jam 7 malam 14 Mac lalu, seramai 4,942 peserta perhimpunan berkenaan berjaya dikenal pasti.
Daripada jumlah itu seramai 3,069 datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan serta 137 lagi dirujuk ke hospital. sebanyak 1,634 individu yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan telah diambil sampel.
“Seramai 2,932 peserta diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh akhir mereka menghadiri perhimpunan berkenaan.
“Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan,” jelas Dr Noor Hisham.
Dalam perkembangan lain, empat markas tabligh di negeri itu dilapor ditutup sementara.
0 Comments