K'jaan Muhyiddin digesa kaji semula pakej rangsangan


PENTADBIRAN diketuai Muhyiddin Yasin digesa meneliti semula kesesuaian pakej rangsangan ekonomi yang sebelum ini diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penelitian semula itu penting bagi menentukan sama ada pakej diumumkan itu benar-benar menampung keperluan beberapa industri utama yang terjejas akibat penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Ia juga tegasnya penting bagi menentukan sama ada ia perlu ditambah baik susulan perkembangan semasa.

"Sehingga sekarang, saya melihat kerajaan Perikatan Nasional masih tiada hala tuju jelas dalam mencari penyelesaian berkaitan permasalahan utama negara ketika ini iaitu pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi serius.

"Selain itu, saya selaku bekas Timbalan Menteri Kesihatan melihat masalah penularan Covid-19 tidak terkawal seperti sebelum ini.

"Justeru saya mencadangkan kerajaan meneliti semula pakej rangsangan ekonomi diumumkan sebelum ini bagi memastikan lebih banyak sektor industri terjejas mendapat manfaat,"katanya dipetik Sinar Harian.

Boon Chye yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata, masalah Covid-19 turut memberi kesan langsung kepada penurunan mendadak harga pasaran minyak mentah dunia yang kini jatuh menjunam kepada ASD$30 (RM128.36) setong.

Senario kejatuhan teruk harga minyak mentah dunia sebenarnya memberi implikasi sangat negatif kepada ekonomi negara kerana situasi itu akan menjejaskan pendapatan syarikat cari gali negara, Petronas.

"Adalah penting ialah berusaha merancang semula ekonomi negara yang lebih mampan dalam mendepani cabaran ekonomi global dan pandemik terbesar.

"Covid-19 terbukti memberi impak besar kepada industri pelancongan dan penerbangan. Saya harap kerajaan tidak hanya sekadar pandai berpolitik, tetapi memikirkan solusi terbaik menyelesaikan masalah ekonomi kritikal kini," katanya lagi.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri Interim melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang ditunjangi oleh tiga strategi.

Menurutnya, tiga strategi itu ialah menangani impak Covid-19 memangkinkan pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
 

Post a Comment

0 Comments