Lancar petisyen desak adun lompat parti letak jawatan.


TIADA tolak ansur terhadap ketidaksetiaan mana-mana anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di negeri Johor.

Pengerusi negeri, Syed Ibrahim Syeh Noh berkata sekiranya terdapat mana-mana ahli yang sudah lari daripada dasar perjuangan parti dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), mereka perlu secara terhormat keluar dari parti itu.

“Saya ingin tegaskan bahawa kalau ada mereka yang bersama dengan gabungan baru, silalah keluar dengan secara terhormat supaya dapat kita lihat di situ dengan jelas apakah pendirian masing-masing.

“Kita tidak mahu lagi bertolak ansur dari segi kesetiaan dan disiplin parti.

"Saya telah sebutkan bahawa antara ciri-ciri penting untuk parti bersatu, untuk parti kukuh ialah apabila ada kesatuan pendirian, ada kesetiaan, ada keinginan kemahuan untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberikan parti dan rakyat,” katanya di Johor Bahru.

Ahli Parlimen Ledang itu sebelumnya diminta mengulas tindakan Dr Chong Fat Full yang mengumumkan keluar dari parti tersebut dan menjadi calon bebas serta menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Baharu.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata pihaknya akan melaksanakan dan menggerakkan petisyen dalam kalangan pengundi dan rakyat di DUN Pemanis supaya menolak Dr Chong sebagai Adun mereka dan meletakkan jawatan dengan serta-merta.

Petisyen itu jelasnya akan dilaksanakan secara bertulis dan dalam talian bagi mengumpul sebanyak mungkin suara rakyat.