JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dilapor menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang didakwa dicuri daripada dana 1MDB.
Portal berita tempatan menyiar laporan itu berdasarkan dua sumber yang mengetahui perkara itu dengan daripadanya menyatakan ketidaktentuan politik sebagai faktor kepada pengangguhan itu.
Dua sumber itu juga dilapor berkata, DoJ pada mulanya dijadual mengembalikan dana yang ditemui itu menerusi bayaran berikutnya pada 19 Feb lalu, tetapi berlaku masalah teknikal dan dana berkenaan tidak dipindahkan.
Tetapi, kata sumber, sebaik saja Mahathir meletak jawatan, ia memutuskan untuk menangguhkan bayaran itu disebabkan ketidaktentuan terhadap apa yang akan berlaku seterusnya.
Dua sumber itu tidak mahu dinamakan kerana mereka tiada kuasa untuk bercakap kepada media. Jurucakap DoJ pula enggan mengulas.
Sejak 2016, DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset kira-kira AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana yang diseleweng daripada 1MDB.
DoJ berkata, lebih AS$4.5 bilion dicuri daripada dana itu di bawah bekas perdana menteri, Najib Razak yang kini dibicarakan atas pertuduhan rasuah.
Mei tahun lalu, AS mula mengembalikan sebahagian daripada dana yang ditemui itu dengan bayaran pertama berjumlah hampir AS$200 juta. Pemulangan dana itu dimasukkan ke sebuah tabung khas di Kementerian Kewangan dan akan digunakan untuk membayar pemegang bon 1MDB.
Malaysia dilanda kemelut politik apabila Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri pada 24 Feb lalu sebelum digantikan Muhyiddin Yassin yang membentuk gabungan baru turut disertai Barisan Nasional yang digulingkan pada pilihan raya umum pada 2018 selepas dakwaan rasuah berkaitan 1MDB.
0 Comments