Kejayaan di Berlin jawab kritikan buat skuad basikal


SKUAD
berbasikal trek kebangsaan mempunyai peluang cerah untuk meraih keputusan yang membanggakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Jurulatih kebangsaan, John Beasley berkata begitu sebagai mengulas prestasi cemerlang ditonjolkan pelumba negara pada Kejohanan Dunia 2020 yang berakhir di Berlin, Jerman minggu lalu.

“Malaysia pastinya sangat teruja melihat pasukan pelumba kita mempunyai peluang di Tokyo. Ia sangat berbeza dengan keputusan yang dicapai pada Kejohanan Dunia tahun lepas,” katanya dalam hantaran terkini di laman Facebooknya.

Terdahulu, jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang memenangi dua pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut. 

Pelumba berusia 32 tahun yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ mencatatkan rekod Asia dan kebangsaan bagi acara pecut selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9.548 saat (s) pada pusingan kelayakan kejohanan dunia itu.

Catatan itu sekali gus memadam rekod 9.609s yang dicatat pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya.

Seorang lagi pelumba kebangsaan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut mencatatkan rekod kebangsaan bagi acara 1 kilometer ujian masa dengan catatan 1 minit 00.305s yang sekali gus memadamkan rekod kebangsaan 1:01.658 s oleh Mohd Rizal Tisin pada kejohanan dunia di Poland pada 2009.

Sementara itu, Beasley menyifatkan keputusan positif oleh anak buahnya itu telah menjawab kritikan oleh segelintir pihak terhadapnya, berikutan prestasi buruk yang dicapai pasukan kebangsaan pada Kejohanan Dunia 2019.

Post a Comment

0 Comments