KEADILAN akan hantar saman kepada bekas pemimpin


DUA BELAS
wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang bertindak melompat parti sehingga tercetusnya krisis politik negara baru-baru ini bakal berdepan tindakan saman RM10 juta setiap seorang.

Bendahari KEADILAN, Lee Chean Chung yang dipetik laporan Malaysiakini berkata, saman terbabit adalah berdasarkan dokumen undang-undang yang ditandatangani indvidu berkenaan sebelum mereka diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, surat tuntutan akan dihantar mulai minggu hadapan.

"KEADILAN sedang berbincang dengan peguam untuk mengumpul semua maklumat yang relevan mengenai wakil rakyat yang berpaling tadah.

“Mereka perlu menjawab tentang bagaimana untuk membayar RM10 juta itu.Sekiranya gagal berbuat demikian, kami akan dakwa mereka di mahkamah.

“Kami juga akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkannya selepas menghantar surat kepada mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Chean Chung menjelaskan bahawa setiap wakil rakyat terbabit perlu membayar sebanyak RM10 juta sekiranya dipecat sebagai ahli, melompat ke parti lain atau meninggalkan parti tetapi kekal sebagai calon bebas.

“Pembayaran itu perlu dilakukan dalam masa tujuh hari selepas seseorang wakil rakyat keluar atau dipecat daripada parti.

Difahamkan, individu terbabit terdiri daripada sembilan ahli Parlimen dan tiga ADUN.

Ahli Parlimen yang terlibat ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak); Zuraida Kamaruddin (Ampang); Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat); Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Tiga ADUN pula ialah Hilman Idham (Gombak Setia); Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Chong Fat Full (Pemanis).

Post a Comment

0 Comments