SPRM dilapor lancar siasatan terhadap aset Ku Nan


SURUHANJAYA
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mula melancarkan siasatan ke atas bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Difahamkan, siasatan dijalankan itu susulan pendedahan di mahkamah baru-baru ini berhubung nilai aset hampir RM1 bilion dimiliki pemimpin Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Nan itu. SPRM beranggapan ia adalah isu serius yang memerlukan siasatan lanjut.

“Isu kami bukan mengenai pendedahan aset, tetapi bagaimana beliau mendapat aset-aset ini,” kata Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.

Tengku Adnan semasa di mahkamah dilapor mengesahkan mengisytiharkan aset berjumlah RM938,643,566.16 ketika mula menyertai Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2001.

Pada 2006, beliau mengisytiharkan aset bernilai RM711,325,822 kepada Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi yang melantiknya sebagai menteri pelancongan.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan RM691,770,649 dan RM782,748,061 aset dimiliknya kepada Najib Razak ketika menjadi menteri Wilayah Persekutuan pada 2013 serta 2016.

Tengku Adnan dibicarakan atas tuduhan menerima RM2 juta daripada Chai Kin Kong yang juga pengarah Aset Kayamas, walaupun tahu syarikat lelaki itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan pimpinannya ketika itu.

Tengku Adnan dalam pembelaanya berkata RM2 juta itu sumbangan politik untuk 2 pilihan raya kecil yang diwakili Barisan Nasional (BN)

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ahli Parlimen Umno dan PAS harus mengisytiharkan aset mereka.

“Jika Ku Nan, setiausaha agung BN boleh kumpul aset RM1 bilion, bayangkan pemimpin BN lain,” tulisnya di Twitter.

Post a Comment

0 Comments