Hadi Awang dianjur bawa usul sokong Muhyiddin


AHLI Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang dianjur membawa usul menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat 18 Mei ini.

Cadangan itu diusul Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook selepas Hadi menyifatkan cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk membawa usul undi tidak percaya berhubung pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri memberi gambaran seolah-olah gabungan politik itu tidak percaya kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Hadi kata usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin bermakna tidak percaya Agong.

“Baik saya cadang Hadi boleh buat usul undi percaya kepada Muhyiddin, kita bahas dan kita undi di Parlimen,” katanya pada  Ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Klang malam tadi.

Tambah Ahli Parlimen Seremban itu, dengan membawa usul menyokong tersebut ia dapat mengukur jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Paling penting rakyat kena bertenang, sebarang tindakan kita mesti berpandukan perlembagaan,” katanya Anthony Loke.

Akhir Febuari lalu, Timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan ahli parlimen dari parti itu yang didakwa menyokong Muhyiddin.

Menurut Mukhriz, terdapat enam ahli Parlimen itu jelasnya secara konsisten menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan Muhyiddin.

"Bagaimana diakui 36 Ahli Parlimen Bersatu menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika ada enam orang yang menyokong Dr Mahathir," tulisnya di laman Instagram miliknya.

Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini dilapor mahu membawakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin kerana Tun Dr Mahathir didakwa mendapat sokongan mencukupi membentuk kerajaan.

Jika dakwaan itu benar, ia membangkitkan persoalan berkenaan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.

Sebagai rekod, Abdul Hadi sebelum ini adalah antara pemimpin dalam pembangkang ketika itu yang bertegas agar Tun Mahathir mentadbir negara sehingga habis penggal.