GUNUNG berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi dilapor meletus sekali lagi awal pagi semalam.
Letusan kedua dalam tempoh kira-kira 2 minggu itu turut memuntahkan debu kira-kira 6,000 meter di udara.
Susulan insiden itu, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi Indonesia (BPPTKG) menghantar amaran penerbangan kod merah yang paling tinggi kepada syarikat penerbangan.
Letusan tersebut turut menyebabkan debu bercampur pasir menghujani bandar sejauh 10 kilometer dari kawah gunung selepas ia meletus pada jam 5.22 pagi (waktu tempatan).
"Terdapat bunyi kuat sekurang-kurangnya selama lima minit dan saya dapat lihat kepulan debu dari rumah saya," kata seorang penduduk di wilayah Boyali, Jarmaji.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan menurut ketua kampung tempatan, penduduk masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menaikkan status amaran gunung berapi, namun menutup sementara lapangan terbang antarabangsa di bandar Solo yang juga dikenali sebagai Surakarta yang terletak sejauh kira-kira 40 kilometer.
"Penduduk sedang memantau situasi semasa. Pelajar masih ke sekolah dan petani masih ke ladang," kata ketua kampung Klakah, Marwoto.
Gunung Merapi diletakkan dalam amaran berjaga-jaga, tahap ketiga paling tinggi dalam sistem pemantauan empat tahap gunung berapi sejak 21 Mei 2018.
Pada 13 Februari lalu, Gunung Merapi meletus dan memuntahkan debu tebal setinggi 2,000 meter ke udara.
0 Comments