Wanita maut dihempap balak


SEORANG
wanita maut selepas kereta dipandunya dihempap kayu balak.

Dalam kejadian di Jalan Bukit Teh menghala Jawi, Seberang Perai Selatan petang semalam, mangsa  Ong Yean Leng, 36, maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam keretanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, kereta dipandu mangsa sebelumnya terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung treler membawa muatan kayu balak berkenaan.

"Akibat daripada rempuhan itu, treler tersebut hilang kawalan dan masuk ke bahu jalan sebelah kanan lalu terbalik.

"Susulan itu, muatan kayu balak menghempap kereta mangsa menyebabkan mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dipetik.

Susulan itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat  dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dan BBP Sungai Bakap dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kerja menyelamat membabitkan dua kren yang mengalihkan lori dan kayu balak di atas jalan itu sebelum mayat mangsa dikeluarkan anggota bomba.

"Mangsa dikeluarkan pada jam 7.26 petang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," kata Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Sisatan awal pihak polis sementara itu berkata, siasatan mendapati, pemandu treler berusia 56 tahun itu mempunyai lesen memandu dan tidak mengalami kecederaan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Post a Comment

0 Comments