NEGERI Kedah masih ditadbir kerajaan sebelum ini yang terdiri dari Adun Bersatu dan Pakatan Harapan, tegas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Mukhriz yang dipetik laporan Bernama berkata, mereka masih kukuh selagi tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu atau HARAPAN di negeri itu bertindak mengalih sokongan mereka dan memihak pembangkang di negeri itu.
"Kita mempunyai bilangan (DUN) yang mencukupi, kita ada 19 campur seorang Speaker (DUN) jadi 20, jadi majoriti sekarang adalah tiga.
"Kita berharap ia (sokongan) dapat dikekalkan, Kedah akan berbeza dengan negeri lain ...," katanya
Mukhriz berkata walaupun kini di peringkat kerajaan pusat Bersatu dianggap sebagai sebahagian daripada gabungan baharu, namun ia berbeza di Kedah.
"Saya sekali lagi akan mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN HARAPAN dan Bersatu... Esok mesyuarat exco macam biasa kerana tugas kita untuk bangunkan Kedah untuk rakyat mesti diteruskan," kata Mukhriz.
Beliau berkata pihaknya juga menjangkakan terpaksa menghadapi sedikit kekangan kewangan dalam menguruskan pembangunan negeri, namun berharap ia akan mencukupi dengan langkah penjimatan yang optimum.
Sebagai rekod, Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PAS 15 kerusi, Bersatu (enam), KEADILAN(tujuh), Amanah (empat), UMNO (dua) dan DAP (dua).
Berbeza dengan beberapa negeri di bahagian Selatan tanah air, kerajaan di Kedah dilihat cuba mengekalkan pentadbiran selari dengan mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
0 Comments