SUSULAN penularan wabak koronavirus (Covid-19), perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain yang dijadualkan akan berlangsung pada 22 Mac mungkin diadakan tanpa kehadiran penonton.
Penganjur dalam satu kenyataan berkata, langkah itu dibuat bagi membendung penularan wabak itu di negara itu.
Bagaimanapun tegas penganjur, perlumbaan itu yang telah dirancang sebelum ini bakal diteruskan dan disiarkan di televisyen bagi memastikan ia tidak memberi impak besar terhadap kejuaraan berprestij itu.
“Bahrain sudah mengambil keputusan untuk menganjurkan perlumbaan kali ini hanya membabitkan pasukan yang bersaing sahaja.
“Mengambil kira kejohanan yang besar, membabitkan tempat terbuka dan risiko interaksi rapat antara penonton, bukanlah perkara yang wajar dilakukan ketika ini,” kata penganjur.
Bahrain adalah perlumbaan kedua di saingan F1 musim ini. Perlumbaan GP China yang sepatutnya berlangsung di Shanghai pada 19 April sudah pun ditangguhkan.