KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil langkah lebih tegas mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Terbaharu, KKM bersama beberapa agensi persekutuan memutuskan untuk tidak membenarkan kapal persiaran memasuki semua pelabuhan di negara ini termasuk Pelabuhan Klang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di Facebook miliknya berkata, larangan itu berkuat kuasa serta-merta.
Noor Hisham berkata, kemasukan kapal persiaran yang melibatkan penumpang dan anak kapal secara tidak langsung memerlukan sumber perubatan yang banyak di kawasan pelabuhan untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan.
Sekatan itu walau bagaimanapun akan ditarik balik sehingga keadaan kembali pulih serta penyebaran wabak itu dapat dikawal sepenuhnya.
"Kami mengakui bahawa industri pelayaran merupakan komponen penting dalam industri pelancongan Malaysia dan telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.
"Kami berharap ini adalah langkah sementara dan yakin bahawa usaha bersepadu semua pihak akan membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.
KKM sebelum ini mengesahkan jumlah mangsa yang positif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 93 kes.
0 Comments