Beg 'mungkin berisi wang' dihantar pada Rosmah - Saksi


SEORANG
saksi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau ada mengikut bekas pegawai khas kepada isteri bekas perdana menteri, Rizal Mansor menghantar dua beg hitam yang ‘berkemungkinan berisi wang tunai’ ke Seri Perdana, Putrajaya pada 2016.

Ahli perniagaan, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 40, yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata beliau mengetahui kedua-dua beg itu berkemungkinan mengandungi wang selepas diberitahu oleh Rizal.

“Saya tidak tahu sama ada kedua-dua beg itu berisi wang tetapi pada fikiran saya kemungkinan kedua-dua beg itu berisi wang. Semasa itu juga saya bertanya kepada Datuk Rizal tujuan kami pergi ke Putrajaya dan Datuk Rizal memberitahu saya bahawa ‘nak bagi barang kepada mem’.

“Saya tidak bertanya kepada Datuk Rizal siapakah ‘mem’ yang beliau maksudkan kerana saya tahu ‘mem’ adalah merujuk kepada Datin Seri Rosmah (Mansor),” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri seperti dilapor Bernama.

Saksi itu berkata semasa tiba di Seri Perdana, dua ‘butler’ telah mengambil dan membawa masuk kedua-dua beg itu ke kediaman rasmi perdana menteri itu (Seri Perdana).

Rizal kemudian memberitahu beliau bahawa dia (Rizal) hendak berjumpa dengan ‘mem’ dan meminta saksi itu menunggu di dalam kereta.

“Lebih kurang 30 minit kemudian,  Rizal telah keluar seorang diri tanpa membawa apa-apa dan saya juga tidak nampak kedua-dua beg itu lagi selepas itu. Datuk Rizal beritahu saya bahawa ‘dah settle’ dan beliau masuk ke dalam kereta,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-11 perbicaraan kes rasuah Rosmah berkaitan projek solar hibrid di Sarawak.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

Post a Comment

0 Comments