POLIS Johor sedang mengesan seorang individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan wabak koronavirus menerusi Facebook.
Individu tersebut yang menggunakan nama 'Haziq Fahami' difahamkan telah mendakwa kononnya semua kawasan di Forest City dikuarantin dan ditutup kepada umum hingga minggu hadapan berikutan penularan wabak itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, seorang pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah membuat laporan berhubung penyebaran berita palsu itu.
![]() |
Perkongsian palsu koronavirus |
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dalam kenyataan menerusi Facebook menafikan dakwaan dibuat individu tersebut.
Jabatan itu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan viral yang tidak sahih kerana ia akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.
Penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua dan juga denda selanjutnya RM1,000 bagi tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
0 Comments