Orang Asli Gua Musang tuntut janji baiki jalan


PIHAK berwajib di kawasan jajahan Gua Musang digesa segera membaiki dan menaik taraf jalan-jalan di pendalaman kawasan didiami Orang Asli.

Pengerusi Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli Pos Tohoi Zainal Cali, berkata nenerapa jalan balak  menghubungkan Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Tohoi berada dalam keadaan tidak selamat dan membahayakan.

Beliau yang mewakili 5,000 penduduk Orang Asli di beberapa pos di kawasan itu berkata, kerosakan jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli di pedalaman tidak pernah selesai dan berlaku setiap kali hujan lebat dan pada musim tengkujuh.

Keadaan jalan tidak sempurna dan licin itu tegasnya menimbulkan masalah bukan sahaja kepada penduduk yang mahu ke bandar bagi membeli barang keperluan pelajar-pelajar sekolah.

"Ibu bapa kadang kala serba salah untuk membenarkan anak mereka ke sekolah menaiki kenderaan disediakan itu kerana risiko kejadian tidak diingini hingga ada kenderaan tersekat dalam lumpur," katanya.

Sementara itu, penduduk Pos Balar yang dikenali sebagai Along, 42, mendakwa  pihak berwajib sebelum ini pernah berjanji untuk membaiki keseluruhan jalan di situ.

Namun hingga sekarang tegasnya belum ada tanda-tanda projek berkenaan akan bermula.

"Sehubungan itu kami merayu kerajaan supaya dapat menaik taraf jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli dengan bandar ini supaya boleh dilalui semua kenderaan tanpa mengira musim hujan atau kemarau," katanya.

Post a Comment

0 Comments