SYARIKAT pengeluar pesawat terbang, Boeing Co dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan sedang mengkaji isu pendawaian yang dipercayai menjadi punca litar pintas pada pesawat 737 MAX.
Jurucakap Boeing, Gordon Johndroe yang dipetik The New York Times berkata mereka untuk melaksana analisis berkenaan dan isu pendawaiaan itu menjadi sebahagian tumpuan utama pihaknya.
Mereka sedang memeriksa sama ada pendawaian yang terlalu rapat boleh menyebabkan litar pintas dan berpotensi mengakibatkan kemalangan jika juruterbang tidak bertindak balas dengan sewajarnya.
“Adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada analisis ini akan membawa kepada sebarang perubahan reka bentuk” kata Gordon.
Menurutnya lagi, Boeing kini sedang berusaha untuk memisahkan gumpalan pendawaian jika perlu dan menjalankan analisis untuk menentukan jika kesilapan elektrik boleh berlaku dalam senario sebenar.
FAA sebelum ini melarang pesawat Boeing 737 Max dari melakukan penerbangan susulan beberapa nahas membabitkan pesawat itu sebelum ini.
Ia antaranya membabitkan pesawat Ethiopian Airlines pada 10 Mac lalu yang mengorbankan 157 penumpang dan anak kapal serta penerbangan Lion Air pada Oktober setahun sebelumnya yang membunuh 189 penumpang dan anak kapal.
Sementara itu FAA dalam satu kenyataan berkata, agensi dan syarikat itu “sedang menganalisis beberapa penemuan daripada kajian baru-baru ini tentang pengubahsuaian yang dicadangkan kepada Boeing 737 Max.
Sebagai rekod, Pesawat 737 MAX memasuki perkhidmatan pada Mei 2017 sebagai saingan kepada pesawat jarak sederhana Airbus, A320 Neo.
0 Comments