PELUMBA basikal yang semakin mencuri perhatian, Nik Mohd Azuan Zulkifki dilapor berjaya menempatkan diri di podium pada Kejohanan Cambodia Bay Cycling Tour yang baru berakhir.
Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Kelantan, Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, kejayaan Nik Azuan yang juga pelumba dibawah persatuan tersebut membuktikan pelumba negeri itu mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
"Kejayaan beliau menaikkan nama pasukan berbasikal Kelantan yang pertama kali berlumba di peringkat antarabangsa.
"Ia membuktikan persatuan kami mampu melahirkan pelumba yang berkualiti walaupun berdepan dengan pelbagai masalah terutama infrastruktur bagi pelumba menjalani latihan," katanya dipetik Bernama.
Dikalangan komuniti berbasikal, Nik Azuan lebih dikenali dengan panggilan Pok Nik.
Untuk Rekod, Kejohanan Cambodia Bay Cycling Tour yang berlangsung pada 4 hingga 6 Januari itu merupakan edisi pertama dan sebahagian dari kejohanan Jelajah Asia.
Tambah Mohd Fared, kejayaaan Nik Azuan menyemarakkan lagi semangat para pelumba yang akan mewakili Kelantan pada kejohanan peringkat antarabangsa pada masa depan selain memberikan motivasi kepada pelumba dari negeri itu bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, Julai depan.
Sementara itu beliau berharap kejayaan dicapai Nik Azuan pada kejohanan itu dapat membuka turut membuka mata banyak pihak untuk bersama terlibat dalam membangunkan sukan berbasikal di Kelantan.
Susulan masalah kewangan, persatuan itu hanya mampu menghantar enam pelumba iaitu tiga pelumba tempatan dan tiga pelumba import pada kejohanan itu.
“Pelumba tempatan ialah Nik Mohd Azuan Zulkifli, Ahmad Haidar Anuwar dan Wan Mohd Ali Wan Zulkifli manakala tiga pelumba import ialah Kenny Nijssen dari Netherland, Arri Pramata dan Hari Fitrianto dari Indonesia," katanya.
0 Comments