LHDN: Permohonan Ku Nan didengar bulan depan


MAHKAMAH Tinggi bakal membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak permohonan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menggantung prosiding kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya pada 24 Febuari ini.

Peguam Satharuban Sivasubramaniam, yang mewakili bekas Setiausaha Agung Umno itu berkata,  tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Azimah Omar selepas pengurusan kes hari ini.

Terdahulu,  LHDN mendakwa Tengku Adnan terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian notis taksiran.

Susulan itu Tengku Adnan sebagai defendan dikenakan kenaikan cukai 10 peratus di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagaimanapun LHDN mendakwa pemimpin Umno itu masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan dikenakan dalam tempoh 60 hari, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Namun sekali lagi tegas LHDN Tengku Adnan gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Pada 15 November Tengku Adnan memohon untuk menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya terhadap penilaian semula taksiran cukai kepada LHDN selesai.

Saman itu difailkan LHDN pada 24 Julai lepas bagi menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Post a Comment

0 Comments