SEBARANG cubaan memutarbelitkan kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke empat negara baru-baru ini merupakan tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menegaskan, ada pihak merasa iri hati terhadap kejayaan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil itu dengan mendakwa ia tidak membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara.
Sedangkan secara fakta, pelbagai pencapaian penting diperoleh dari lawatan itu. ia bukan hanya meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global malah turut memacu ekonomi negara dan memperkukuh hubungan antarabangsa.
"Lawatan ini menunjukkan impak nyata, termasuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, pengukuhan perdagangan dan pengiktirafan global terhadap Malaysia.
“Justeru, sebarang tuduhan yang bertentangan serta cubaan memutarbelitkan kejayaan lawatan ini adalah tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan itu beliau turut menyenaraikan kejayaan perdagangan, pelaburan dan kolaborasi strategik yang diperoleh negara ketika lawatan Anwar ke Mesir, Peru dan Brazil, baru-baru ini.
Dalam lawatan ke Mesir, perdagangan dua hala meningkat 21.4 peratus (RM3 bilion); pelancaran kilang pemasangan Proton di Giza dijangka menjana pendapatan RM570 juta dalam tiga tahun, di samping tambahan pendapatan sebanyak RM20 juta melalui jualan alat ganti bagi menyokong perkhidmatan.
Lawatan itu turut menjalin kerjasama pendidikan antara Universiti Al-Azhar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Di Peru lawatan rasmi Anwar telah membantu meneroka ekosistem halal di Amerika Latin melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakkan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
Kolaborasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Inovasi Pertanian Negara Peru memperkukuh sektor pertanian, dengan perdagangan meningkat 49.1% (RM1.58 bilion).
Sementara itu di Brazil, beberapa kejayaan dicatat menerusi pelaburan luar pesisir PETRONAS bernilai USD6 bilion; projek kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) oleh Yinson Holding bernilai USD5 bilion, serta eksplorasi tenaga solar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain itu Perdana Menteri turut menyerlahkan kepimpinannya di persada antarabangsa semasa Sidang Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.
Pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Perdana Menteri terus menyuarakan komitmen negara yang tegas mempertahankan hak Palestin apabila menyeru sekatan senjata terhadap Israel.
Anwar turut menuntut reformasi peranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bersifat lebih inklusif buat negara anggota lain serta menyingkirkan rejim zionis Israel daripada PBB.
"Kejayaan dicapai itu menunjukkan dengan jelas bahawa Perdana Menteri bukan sekadar figura simbolik, sebaliknya pemimpin yang memacu negara menuju kemajuan di bawah agenda MADANI," jelasnya.
0 Comments