Selangor lancar Dasar Perubahan Iklim untuk masa depan berdaya huni

 

KERAJAAN Negeri Selangor melancarkan Dasar Perubahan Iklim sebagai persediaan mendepani cabaran perubahan cuaca yang melanda seluruh dunia.

Dasar tersebut memberi penekanan kepada penggunaan tenaga, pengurusan sisa, pengangkutan awam dan keterjaminan makanan menerusi tiga fasa pelaksanaan sehingga selepas 2030 dengan merangkumi 10 teras strategik dan 70 tindakan utama melibatkan agensi negeri, persekutuan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan.

“Ia akan diselaras melalui Pusat Adaptasi Perubahan Iklim yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan sedang dibentuk.

“Dasar ini akan menjadi dokumentasi yang tangkas dan mampu mengadaptasi keperluan, idea serta teknologi baharu yang mengukuhkan usaha Selangor beradaptasi kepada risiko perubahan iklim,” kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan media.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, pelancaran dasar itu selari langkah adaptasi dan mitigasi yang dicerminkan dalam dokumen Dasar Perubahan Iklim bagi mencapai hasrat Selangor sebagai negeri sifar pengeluaran karbon menjelang 2050.

Penyesuaian kepada perubahan iklim tegasnya bukan satu pilihan tetapi tanggungjawab bersama kerajaan dan rakyat bagi menjamin masa depan negeri yang bukan sahaja maju tetapi berdaya huni.

Sementara itu EXCO Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaludin dipetik laporan media berkata kajian Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor dilaksana dengan kerjasama Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM).

Hasil kajian itu jelasnya tertumpu kepada tiga lokasi yang dipilih berdasarkan elemen geografi muka bumi dan risiko bencana iaitu Kuala Selangor (aspek kawasan persisiran pantai), Shah Alam (kawasan berisiko banjir kilat) dan Ampang Jaya (kawasan berisiko tanah runtuh).

“Kajian ini turut mengenal pasti bahaya risiko bencana di Selangor yang utama adalah banjir, kenaikan paras air laut dan keterdedahan risiko kepada infrastruktur kritikal seperti fasiliti hospital, sekolah serta rumah ibadat,” katanya dipetik.

Beliau turut memaklumkan, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor bagi memperkasa tindakan mitigasi dan penyesuaian menangani impak perubahan iklim.

Pusat dilengkapi kepakaran dalam perancangan strategik itu dijangka dilancarkan bulan hadapan.



Post a Comment

0 Comments