MALAYSIA mencatatkan kes harian tertinggi koronavirus (COvid-19) sejak 16 hari lalu.
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 105 kes dikesan pada Sabtu. menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan yang sudah direkodkan ialah 6,176 kes.
Jelasnya kes baru itu terdiri daripada 11 kes import dan 94 kes jangkitan tempatan.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa 116 pesakit lagi pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh 4,326 kes, atau 70 peratus dari keseluruhan kes.
Tiada kematian baru dilaporkan setakat tengah hari tadi dan jumlah korban kekal 103 atau 1.67 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.
Dengan perkembangan terbaru itu, bermakna kes Covid-19 aktif di Malaysia setakat tengah hari tadi ialah 1,747 kes.
Daripada jumlah itu, sebanyak 31 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 12 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa terdapat 36 kes baru berhampiran kawasan pasar borong Selayang, dengan 35 daripadanya melibatkan warga asing. Terdapat 20 kes baru di Selayang Baru, dan empat di Selangor Mansion.
Enam daripada kes baru hari ini juga berasal dari sekolah tahfiz di Lanchang, Pahang, yang telah diklasifikasikan sebagai kluster baru.
0 Comments