PUTRAJAYA digesa memberi perhatian khusus kepada komuniti Orang Asli yang memerlukan bantuan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendakwa semasa dialog bersama 88 wakil badan bukan kerajaan dan pertubuhan sivil dan komuniti Orang Asli pada 20 April lalu mendapati terdapat komuniti Orang Asli ketinggalan dalam menerima bantuan.
Jelas mereka pakej bantuan hanya diserah kepada kampung yang berdaftar manakala kampung tidak berdaftar terlepas dari perhatian atau ketinggalan selain golongan itu juga berdepan cabaran menuntut skim Bantuan Prihatin Nasional.
“Semasa PKP, Orang Asli tidak dapat bekerja atau menjual hasil tanaman dari kebun atau hutan untuk memperolehi pendapatan harian, seterusnya menyebabkan ketidakmampuan mereka untuk membeli keperluan asas lain bagi menyara kehidupan.
“Terdapat kanak-kanak Orang Asli yang sukar dihubungi berikutan pergerakan mereka ke dalam hutan kerana ketakutan terhadap pandemik, manakala yang lain tidak dapat mengakses kelas dalam talian kerana tidak mempunyai komputer dan internet,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, Suhakam mengesyorkan pihak berkuasa mendaftarkan Orang Asli sebagai penerima BPN secara automatik, dengan pilihan untuk menerima bantuan secara tunai.
Pentadbiran Muhyiddin sebelum ini menjanjikan tiada mana-mana pihak di negara ini akan ketinggalan menerima bantuan dari kerajaan susulan wabak koronavirus.
Suhakam berkata kebimbangan lain yang ditimbulkan di sesi dialog itu adalah risiko jangkitan daripada individu yang mengagihkan bantuan memandangkan mereka tidak dibekalkan dengan topeng muka dan pembersih tangan.
Oleh kerana cara kehidupan komunal, imuniti dan status kesihatan mereka yang rendah, terdapat kebimbangan penyebaran boleh berlaku dengan mudah sekiranya salah seorang daripada mereka dijangkiti, tambahnya.
Justeru, Suhakam juga mengesyorkan Kementerian Kesihatan menubuhkan jawatankuasa kerja yang terdiri daripada wakil komuniti Orang Asli bagi membantu usaha mengenalpasti, melaksana, memantau, dan melaporkan keperluan kesihatan dan intervensi sewajarnya.
0 Comments