JENTERA Pakatan Harapan (HARAPAN) khususnya Srikandi BERSATU yang turun membantu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis diingatkan agar mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang kempen dijalankan.
Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kimanis, Mohd Arifin Mohd Arif berkata, budaya hemah dan berkasih sayang perlu menjadi amalan semasa mendekati rakyat di peringkat akar umbi yang mempunyai latar belakang budaya yang berbeza.
"Gunakanlah pendekatan berhikmah dan berkasih sayang ketika mengakrabi pengundi di peringkat akar umbi, jauhkanlah sifat caci cerca dan celah dengan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa kita berkempen," tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut itu.
Arifin sebelumnya menerima kunjungan Srikandi BERSATU di kediaman beliau di kampung Pimping Membakut baru baru ini.
Mengulas lanjut, Atifin mengingatkan matlamat utama ketika kempen kali ini ialah membantu calon WARISAN bagi memenangi PRK itu.
"Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan memperjelaskan isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh parti lawan kepada rakyat agar ianya tidak dimanipulasikan demi kepentingan politik," katanya.
Arifin menambah jika pendekatan berhemah dilakukan dengan memperjelaskan isu-isu semasa yang disertai dengan fakta dan hala tuju yang jelas rakyat akan mudah menerima dan memberikan sokongan kepada parti yang mewakili kerajaan.
Beliau berkata rakyat secara keseluruhanya mengharapkan politik yang stabil agar pembangunan dapat terus dirancang dan dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
0 Comments