Tangguh Parlimen: Saifuddin anggap bukti kerajaan PN makin tersepit

 TINDAKAN Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin menagguhkan sidang Dewan yang sepatutnya disambung pada Isnin ini menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan makin tertekan.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah penagguhan dengan alasan membendung penularan Covid-19 di bangunan Parlimen itu jelasnya adalah langkah terkini dilakukan Mahiaddin bagi menyelamatkan jawatannya.
 
“Apabila pendirian Tuanku sudah terdedah kepada umum dan menyebabkan Muhyiddin semakin tertekan dan langkah terakhir untuk menyelamatkan dirinya adalah dengan menangguhkan Parlimen,” katanya dipetik laporan media.

Saifuddin merujuk kenyataan media dari Istana Negara pada Khamis lalu yang menzahirkan rasa amat dukacita Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Tambah Saifuddin lagi, walaupun Muhyiddin berjaya mengelakkan sebarang pengundian dengan agenda penerangan mengenai Majlis Pemulihan Negara sepanjang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 minggu lalu, namun perkembangan terbaharu iaitu krisis antara Perdana Menteri dan Istana Negara mendedahkan lagi Muhyiddin sebagai pemimpin negara yang sedang bermasalah.
 
“Dia (Muhyiddin) juga tidak popular dalam kalangan rakyat malah pada hari ini anak muda buat demonstrasi, doktor juga buat demonstrasi… dia pun ada krisis dengan Istana iaitu derhaka dan tidak hormat,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu ini mengingatkan Mahiaddin dan kabinetnya bahawa tidak memperlakukan Seri Paduka Baginda sebagai "rubber stamp"  walaupun tuanku memang perlu bertindak atas nasihat jemaah menteri.

Tegasnya sebagai "pelindung" Perlembagaan Persekutuan, Agong berhak menolak nasihat yang "melanggar Perlembagaan atau cacat (defective)".

Agong ada hak tolak 'nasihat cacat'
"Walaupun Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan tuanku perlu bertindak di atas nasihat jemaah menteri, amatlah salah untuk kita perlakukan tuanku hanya sebagai ‘rubber stamp’ atau sebagai ‘pak turut’ kepada jemaah menteri walaupun nasihat itu jelas salah," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Tuanku juga berhak memberi peringatan atau teguran kepada Jemaah Menteri berkenaan sebarang cadangan yang melanggar perlembagaan dan menasihati jemaah menteri untuk perbetulkan kecacatan atau kesalahan tersebut," katanya merujuk kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung kenyataan media oleh Istana sebelum ini.

"Saya amat kesal membaca kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) bertarikh 29 Julai yang membalas kenyataan Istana Negara, yang bukan sahaja biadab dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong tetapi juga telah dengan jelas membelakangi tuanku sebagai Raja Berperlembagaan," tambah Saifuddin.

 

Post a Comment

0 Comments