PASANGAN suami isteri ditemukan selamat selepas tersesat di kawasan hutan dekat Batu Pahat, sejak awal pagi Jumaat.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh Pegawai Bomba Kanan II Husaini Eddy berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) Arjon Tobari, 59, dan isterinya Norazlina Paijo, 34, dimulakan setelah kedua-duanya hilang selama 24 jam.
Beliau berkata, pasangan itu ditemui tiga kilometer dari Jalan Pagoh, kira-kira 48 minit kemudian.
Operasi itu melibatkan 23 anggota dan tiga jentera daripada Balai Bomba Pagoh, Batu Pahat serta Muar.
"Menurut anak mangsa, pasangan itu keluar dari rumah sejak 7.30 pagi semalam. Ahli keluarga cuba mencari mereka namun gagal," katanya menerusi kenyataan seperti dilapor Bernama.
Difahamkan, pasangan tersebut ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan lesu diberikan air dan roti.
Mereka turut diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada keluarga.
Tambah Husaini, pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung tujuan pasangan berkenaan memasuki hutan terbabit yang sebahagiannya merupakan kawasan kelapa sawit.
0 Comments