Pakar kesihatan sokong keputusan Kabinet tak sekat pelancong asing

 


LANGKAH diputuskan kerajaan untuk tidak menyekat kemasukan pelancong asing pada masa ini adalah tepat, kata seorang pakar kesihatan.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang juga pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi berkata, ia kerana pelaksanaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) memadai untuk mengekang jangkitan COVID-19.

“Setuju kerana kerajaan tidak mahu diskriminasi kepada mana-mana negara, dan mereka juga cuba inisiatif dengan memperketatkan kawalan sedia ada seperti pengimbas suhu terhadap pelancong asing khususnya negara berisiko tinggi berlaku jangkitan wabak.
 
“Jadi, ia kenyataan bersifat politik kerana jika tidak membenarkan rakyat China masuk, negara itu akan marah, begitu juga rakyat Malaysia, seimbang apa yang Perdana Menteri lakukan.

“Bagaimanapun, bergantung kepada keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nak buat macam mana,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kabinet yang memutuskan tiada sebarang larangan atau sekatan dikenakan terhadap pelancong China atau mana-mana negara ke negara ini.

Langkah itu untuk tidak mendiskriminasi mana-mana pelawat asing yang datang ke negara ini.

Bagaimanapun, menurut Anwar, kerajaan menyedari kebimbangan dinyatakan orang awam berhubung kemungkinan berlaku peningkatan kes terutama yang berpunca dari pelancong luar negara.

Justeru, kerajaan akan memperketat kawalan sedia ada terhadap penlancong asing di pusat Imigresen khususnya daripada negara yang berisiko tinggi berlaku jangkitan wabak.

"Kabinet tanpa ragu memutuskan bahawa aspek kesihatan adalah hal yang utama. Soal pelancongan dan ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat dari segi wabak dan jangkitan. Tiada tolak ansur.
 
“Oleh itu, kerajaan akan mengambil tindakan untuk menyelamatkan rakyat kita, sesiapa sahaja yang masuk (ke Malaysia) harus dipantau dan dikenakan syarat yang sama,” kata Anwar.

Dr Zainal sokong keputusan Kabinet
Sementara tu Dr Zainal menyarankan pihak yang bimbang tentang kemasukan pelancong luar ke Malaysia untuk menjaga SOP seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Orang ramai perlu amalkan semula pemakaian pelitup muka dan ambil vaksin serta dos penggalak,” ujarnya dipetik.

Sebelum ini kerajaan telah memperketat langkah survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dengan mengarahkan semua pelancong membuat saringan kesihatan.

Post a Comment

0 Comments