KDN ambil alih kuasa urus pengambilan pekerja asing


PROSES
pengambilan pekerja asing kini diselaras semula dan diletakkan dibawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perkara itu dinyatakan menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya pada Khamis.

"Ini bermaksud tiga per empat daripada proses pengambilan pekerja asing akan terletak di bawah bidang kuasa atau kawal selia KDN.

"Proses daripada majikan memohon pekerja, kebenaran awal memohon kuota sampailah kepada pekerja asing itu dibawa masuk, tiga per empat daripada keseluruhan proses itu adalah dibawah KDN.

"Pemegang taruh seperti majikan, industri, persatuan serta pekerja asing tidak perlu khuatir akan perubahan dasar ini yang dijangka akan bermula pada 15 Januari ini.

"Hal ini kerana penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada memandangkan fokus kepada penjajaran adalah kepada tatakelola pengurusan pekerja asing," katanya dalam sidang media yang turut disertai Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Walau bagaimanapun jelasnya, jajaran baharu fungsi kementerian itu akan menyaksikan Kementerian Sumber Manusia (KSM) kekal berperanan dalam aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan memuktamad kerjasama dengan negara sumber.

KSM juga kekal berperanan dalam proses pertama iaitu mengenal pasti negara sumber, kedua mengadakan apa-apa perjanjian dengan negara sumber bagi mendapatkan sumber tenaga pekerja asing dan aspek urus kendali dalam menentukan kuota diperlukan setiap industri, seperti diputuskan Jemaah Menteri sebelum ini.

"Kita harap (penjajaran) ini akan membuatkan proses pengambilan pekerja asing dilaksanakan kurang 30 hari. Kita lihat ruang untuk tempoh itu dipendekkan.

KSM  berperanan pastikan keakuran kepada dasar
"Antara lain, kelonggaran itu akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan bagi menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan," kata Saifuddin lagi.

Jemaah Menteri pada 7 dan 21 Disember lalu bersetuju menjajarkan semula peranan pengurusan pekerja asing dan mempertimbangkan kelonggaran yang wajar bagi tujuan penggajian pekerja asing di Malaysia.

Post a Comment

0 Comments