DAKWAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa ketiadaan kata sepakat mengenai takrifan “lompat parti” menyukarkan penggubalan undang-undang membanterasnya ditempelak dua peguam.
Menyifatkan kenyataan Wan Junaidi semata-mata alasan, mereka menegaskan kelewatan dalam membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat parti di Parlimen berpunca dari ketiadaan iltizam politik di pihak kerajaan.
Bastian Pius Vendargon berkata, mentakrifkan “lompat parti” adalah mudah jika ada iltizam politik.
“Jika semua yang mengatakan mereka setuju dengan RUU Anti Lompat Parti menyokongnya di Parlimen, majoriti dua pertiga sudah memadai untuk pindaan perlembagaan dibuat,” katanya dipetik laporan FMT.
“Bagaimanapun, kita tertanya-tanya sama ada wujud iltizam untuk mencapai perundangan yang diperlukan.”
Vendargon berkata, pilihan raya kecil (PRK) bagi sesebuah kerusi perlu diadakan jika Ahli Parlimen atau ADUN yang dipilih meletak jawatan atau dipecat daripada parti kerana beliau dianggap telah melepaskannya.
Ini sepatutnya menjadi asas untuk takrifan “lompat parti”, katanya lagi.
Dipetik laporan sama, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo walaupun dapat bersetuju dengan Wan Junaidi bahawa terdapat pelbagai tafsiran tentang maksud lompat parti menegaskan bahawa faedah bertukar pakatan menghalang pembentangan RUU membanteras lompat parti.
“Ramai dalam kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, mendapat manfaat dengan melompat parti,” katanya.
“Cuba untuk menjadikannya salah di sisi undang-undang sama seperti membunuh angsa bertelur emas.” katanya yang juga menegaskan Perlembagaan mengenai perkara itu boleh dipinda tetapi semuanya bergantung kepada iltizam politik.
“Jika ada kata sepakat antara semua pihak dalam jurang politik, maka pindaan Perlembagaan boleh dibuat menerusi Parlimen.
“Ia bergantung kepada sama ada mereka di pihak kerajaan dan pembangkang sanggup bangkit dan mengatakan bahawa undang-undang harus digubal untuk membanteras amalan lompat parti walaupun mereka mungkin mendapat manfaat daripadanya.” jelasnya dengan menegaskan bahawa penting untuk meluluskan RUU Anti Lompat Parti bagi memastikan wakil rakyat bertanggungjawab kepada pengundi.
BACA: Alasan Wan Junaidi dangkal, kata Ronnie Liu
BACA: K'jaan dilihat sengaja lengah RUU antilompat parti
Terdahulu kenyataan Ahli Parlimen Santubong itu dikritik banyak pihak termasuk oleh Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen.
Iltizam politik perlu untuk lakukan perubahan |
Badan pemerhati pilihan raya, BERSIH mengingatkan kerajaan bahawa penggubalan Undang-Undang Anti Lompat Parti akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya.
0 Comments