SEORANG pemimpin DAP menyifatkan kerajaan memberi alasan dangkal apabila berkata ketiadaan kata sepakat mengenai takrifan “lompat parti” menyukarkan penggubalan undang-undang membanterasnya
Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu dipetik laporan FMT berkata alasan itu yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak boleh dipakai.
“Mungkin terdapat pendapat yang berbeza mengenai takrifan tetapi mesti ada asas yang sama atau sesuatu yang boleh kita pelajari dari masa lalu.” tegasnya,
Dalam wawancara bersama media semalam, Wan Junaidi berkata, sukar untuk menggubal undang-undang antilompat parti melainkan libat urus secukupnya diadakan dengan pihak berkepentingan mengenai istilah “lompat parti”.
Bagaimanapun Ronnie menegaskan bahawa undang-undang antilompat parti pada asasnya bermaksud seorang wakil rakyat yang mahu melompat parti mesti melepaskan kerusinya namun dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kecil.
Beliau mengambil contoh Shahrir Samad, yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru pada 1988 untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi yang sama yang kemudian menang.
Sementara itu Ahli Parlimen Subang Wong Chen daripada KEADILAN pula berkata, ketiadaan kata sepakat tidak seharusnya menjadi penghalang untuk membentangkan rang undang-undang antilompat parti.
“Hanya dengan membentangkannya kita dapat mengetahui pendirian sebenar setiap pihak berhubung takrifan tersebut,” katanya.
“Memang mencabar untuk dapatkan kata sepakat tetapi kita tidak boleh tangguhkan lagi pembentangan undang-undang antilompat parti.”
Apakah takrif 'lompat parti' sangat sukar difahami? |
“Individu yang melompat ke parti lain harus dihukum kerana mengelirukan pengundi mengenai dasar agar dipilih kerana pada hakikatnya dasar ini disediakan oleh parti,” katanya dipetik.
0 Comments