PRN Johor: SPR digesa lanjutkan tempoh daftar pengundi pos


SETIAUSAHA AGUNG
parti KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia segera mengumumkan jumlah sebenar rakyat Johor yang telah berdaftar sebagai pengundi pos.

Beliau membuat tuntutan itu ekoran dakwaan bahawa dianggarkan cuma 1 peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang setakat tempoh beberapa hari lalu.

Melalui satu kenyataan, beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan agar SPR melanjutkan tarikh pendaftaran undi pos kerana tempoh sembilan hari yang ditetapkan bagi PRN itu sebelum ini disifatkan sebagai amat singkat.

“SPR mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan pengundi yang layak mengundi diberikan hak tersebut, termasuk bagi yang berada di luar negara.

“Tempoh 9 hari yang telah diberi SPR ini amat singkat dan wajar dilanjutkan agar mereka yang layak dan berhak dapat mendaftar serta melaksana tugas dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara.

“Dalam keadaan pandemik yang belum reda ini, proses demokrasi tidak harus “dikuarantin” atau dijadikan mangsa kerenah birokrasi.

“Oleh itu, saya gesa pihak SPR untuk segera mengumumkan jumlah sebenar pengundi Johor yang telah mendaftar sebagai pengundi pos, mengikut negara di mana mereka berada,” katanya.

SPR digesa lanjutkan tempoh daftar pengundi pos
SPR sebelum ini mengumumkan permohonan untuk mengundi secara pos itu dilaksanakan secara dalam talian menerusi https://myspr.spr.gov.my.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara bagi untuk pengundi kategori Borang 1B (warga Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka sehingga 18 Februari.

Manakala untuk kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera dan petugas media) pula dibuka mulai hari ini sehingga 24 Februari nanti.

Post a Comment

0 Comments