Rayuan akhir Najib dijadualkan bermula hari ini


HARI ini, Mahkamah Persekutuan dijadual akan mendengar rayuan Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Difahamkan, Mahkamah Persekutuan akan terlebih dahulu mendengar permohonan bekas Presiden UMNO itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes itu.

Dilihat sebagai usahanya untuk mendapatkan perbicaraan semula, sekiranya permohonan Najib itu ditolak, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib.

Pada 8 Dis tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu disabitkan bersalah oleh hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan dilakukan Najib.

Pada 26 Julai lalu Najib membuat tindakan mengejutkan apabila menggugurkan firma guaman Tetuan Shafee & Co diketuai Muhammad Shafee Abdullah dari mewakilinya dalam rayuan terakhirnya.

Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) kemudian dilantik mewakilinya dengan Hisyam Teh Poh Teik bakal bertindak sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama dalam rayuan itu.  

Pasukan peguam baharu Najib memohon Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan pendengaran rayuan kerana “pasukan baharu sepenuhnya telah mengambil alih” kes SRC.

Bagaimanapun, pada 28 Julai, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penangguhan pasukan pembelaan Najib dan mengarahkan perbicaraan rayuan dimulakan pada 15 Ogos seperti yang dijadualkan.

15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos telah ditetapkan bagi mendengar rayuan Ahli Parlimen Pekan berusia 69 tahun itu.

Apakah akhirnya Najib ke Sungai Buloh?


Najib sebelum ini telah mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai alasan beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan itu.


Antara alasan dibangkitkan dalam petisyen itu ialah kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) telah tersilap fakta dan/atau undang-undang dengan gagal menilai bukti dengan betul dan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, dan antara inferens yang dibenarkan dibuat, dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka, dan khabar angin.
 

Post a Comment

0 Comments