ULASAN | Kontroversi ‘China’ dalam isu 1MDB seolah-olah dibongkar secara tidak langsung dalam pendedahan siri audio rakaman perbualan telefon melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa individu di dalam dan luar negara oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.
Dalam
rakaman bertarikh 27 Julai 2016 jam 12.46 tengah malam iaitu rakaman
Datin Seri Rosmah Mansor menelefon Datuk Seri Najib itu terdengar dialog
berikut:
Najib: Saya boleh cadangkan kepada Amhari, jemput dia ke sini.
Rosmah: Kemudian kita beritahu Putera Mahkota, Khaldoon ada di sini
bercakap dengan kami, untuk selesaikan semuanya sekali gus. Kita dah
bazirkan satu minggu dah.
Najib: Ya, ya. Kita boleh jemput dia ke
sini. Tak bazir, banyak benda dah bergerak dah. Mereka ni, dia nak
tengok ada pergerakan di belah sana, belah China. Belah China sudah
bergerak, tahu?
Rosmah: Itulah sebabnya, darling, tak banyak benda boleh kita cakapkan di telefon.
Dialog
ini selari dengan pendedahan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib iaitu
Datuk Amhari Efendi Nazaruddin tentang peranan China dalam isu 1MDB di
mahkamah tahun lalu.
![]() |
SPRM mendedahkan perbualan Najib |
Sebelum itu, dua wartawan Wall Street Journal (WSJ)
– Tom Wright dan Bradley Hope – menerbitkan laporan bertajuk WSJ
Investigation: China Offered to Bail Out Troubled Malaysian Fund in
Return for Deals bertarikh 7 Januari 2019.
Laporan itu mendakwa Najib
meminta Jho Low untuk berunding dengan China bagi ‘menyelesaikan krisis’
yang melibatkan hutang 1MDB.
Dalam mesyuarat pada 29 Jun 2016
pula, seorang pegawai China iaitu Sun Lijun – ketua pasukan keselamatan
domestik China – berjanji untuk ‘memanfaatkan pengaruh China ke atas
beberapa negara lain’ bagi menghentikan siasatan 1MDB.
Sun Lijun juga ‘memberi jaminan’ kepada Najib bahawa China melakukan
pengawasan ke atas pejabat WSJ di Hong Kong sebagai ‘memenuhi permintaan
Malaysia’.
Langkah perisikan ini diambil bagi mengetahui dari mana dan
siapa yang memberi maklumat kepada WSJ tentang skandal 1MDB.
Sebagai
balasan, dua projek gergasi ditawarkan kepada China – Projek Laluan Rel
Pantai Timur (ECRL) dan projek Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP).
Laporan
WSJ ini juga menyebut nama pegawai China yang terlibat iaitu Xiao
Yaqing, Pengerusi Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset milik
China.
![]() |
Najib ketika pecah tanah projek ECRL |
Malah, Xiao Yaqing juga ‘membatalkan kesemua temu janji
penting di Beijing’ untuk hadir ke mesyuarat dengan Jho Low ini kerana
ia ‘diluluskan oleh Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang’
sendiri.
Pendedahan WSJ ini kemudiannya diakui secara tidak
langsung Datuk Amhari yang terlibat dalam mesyuarat bertarikh 28 Jun
2016 di China.
Malah, beliau mengesahkan bahawa lawatannya ke China pada
2016 hanya diketahui oleh Jho Low dan Najib.
Namun isu penting
yang masih perlu dijelaskan kepada rakyat Malaysia ialah siapa yang
merakam kesemua perbualan tersebut? Hal ini demikian kerana SPRM
mengatakan bahawa siri rakaman telefon itu dihantar oleh ‘pihak tanpa
nama’ pada awal bulan ini. Lebih penting lagi, kenapa hanya perbualan
didedahkan itu yang dirakam?
Kenapa tiada audio yang melibatkan
dua aktor penting dalam isu 1MDB iaitu Jho Low dan China?
Kenapa pihak
tersebut hanya mendedahkan perbualan yang melibatkan Putera Mahkota UAE,
Mohammed Zayed Al Nahyan dan tidak China?
Apa yang pasti, buat masa ini
China telah ‘kantoi’ jika rakaman audio yang didedahkan SPRM itu adalah
benar.
ABDUL MUEIN ABADI ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Tulisan ini disalin daripada Sinar Harian dan ia tidak mencerminkan pendirian rasmi Kartel.
0 Comments